Ketika adik perempuan saya Maysel masih kecil, dia selalu menyanyikan lagu yang sudah biasa didengar dengan caranya tersendiri: “Yesus sayang padaku, Alkitab mengajar Maysel.” Hal ini sering mengganggu saya! Sebagai salah seorang kakak tuanya, kakak yang “lebih pandai daripadanya”, saya tahu seni kata lagu tersebut ialah “Alkitab mengajarku”, bukannya nama “Maysel.” Tetapi dia terus menyanyikan lagu itu menurut caranya.
Sekarang saya berfikir bahawa adik perempuan saya memang benar. Alkitab sesungguhnya memberitahu Maysel, dan kita bahawa Yesus mengasihi kita. Berulang kali kita membaca kebenaran itu. Sebagai contoh, rasul Yohanes menulis, “murid yang dikasihi oleh Yesus” (Yohanes 21:7, 20). Dia memberitahu kita tentang kasih Tuhan melalui salah satu ayat yang paling dikenali dalam Alkitab: Yohanes 3:16, “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal.”
Yohanes menekankan kembali mesej tentang kasih dalam 1 Yohanes 4:10: “Demikianlah kasih: bukannya kita mengasihi Allah tetapi Allah mengasihi kita lalu menghantar Anak-Nya sebagai korban pendamaian bagi dosa kita.” Sebagaimana Yohanes mengetahui bahawa Yesus mengasihinya, maka kita juga boleh memiliki keyakinan yang sama: Yesus sayang padaku, Alkitab mengajarku.