Disebabkan oleh kecederaan yang berlaku pada tahun 1992, kini saya menderita sakit kronik pada bahagian atas belakang badan, bahu dan leher saya. Ketika berada dalam keadaan yang paling menyakitkan dan melemahkan jiwa, itu bukanlah masa yang mudah untuk mempercayai ataupun memuji Tuhan. Namun ketika situasi saya terasa tidak tertanggung lagi, hadirat Tuhan yang sentiasa ada telah memberikan ketenangan kepada saya. Dia menguatkan dan meyakinkan saya akan kebaikan-Nya yang tidak pernah berubah, kuasa-Nya yang tidak terbatas, dan kasih kurnia-Nya yang sentiasa menyokong. Apabila saya dicubai untuk meragui Tuhan, saya diteguhkan oleh ketetapan hati Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Mereka menyembah Tuhan dan percaya bahawa Dia menyertai mereka, meskipun pada ketika situasi mereka seakan-akan tiada harapan.

Ketika Raja Nebukadnezar mengancam untuk membuang mereka ke dalam dapur api yang menyala-nyala jika mereka tidak berpaling daripada Tuhan yang benar untuk menyembah patung emas (Daniel 3:13–15), ketiga-tiga orang ini mempamerkan iman yang berani dan berkeyakinan. Mereka tidak pernah ragu-ragu bahawa Tuhan layak menerima pujian mereka (ayat 17), “kalaupun” Dia tidak menyelamatkan mereka daripada situasi susah pada ketika itu (ayat 18). Tuhan juga tidak meninggalkan mereka sendirian pada masa mereka ada keperluan; Dia menyertai mereka dan melindungi mereka dalam dapur api itu (ayat 24–25).

Tuhan juga sama sekali tidak meninggalkan kita sendirian. Dia tetap menyertai kita melalui pencubaan yang seakan-akan membawa kemusnahan seperti dapur api Nebukadnezar. Meskipun kita akan terus menghadapi penderitaan ketika masih hidup di bumi, Tuhan selalu berkuasa, dapat dipercayai dan baik. Kita boleh bersandar kepada hadirat-Nya yang sentiasa ada dan penuh kasih.