Apabila anda menaiki pesawat, sebelum penerbangan bermula, seorang staf penerbangan akan memberikan taklimat keselamatan yang akan menerangkan apa yang harus dilakukan sekiranya kabin mengalami kehilangan tekanan. Para penumpang dimaklumkan bahawa topeng oksigen akan jatuh keluar dari ruangan atas dan mereka perlu memakainya terlebih dahulu sebelum membantu orang lain. Mengapakah perlu berbuat demikian? Ini kerana sebelum anda dapat membantu orang lain, anda sendiri harus dalam keadaan waspada secara fizikal terlebih dahulu.

Ketika Paulus menulis kepada Timotius, dia menekankan kepentingan untuk menjaga kesihatan rohaninya sendiri sebelum menolong dan melayani orang lain. Dia mengingatkan Timotius tentang tanggungjawabnya yang banyak sebagai seorang gembala: Pengajaran sesat yang harus ditentang (1 Timotius 4:1-5) dan doktrin salah yang harus dibetulkan (ayat 6–8). Namun untuk menjalankan tugasnya dengan baik, apa yang paling penting adalah berhemat tentang diri dan ajarannya, serta melakukannya terus-menerus (ayat 16). Dia harus menjaga hubungan peribadinya dengan Tuhan terlebih dahulu sebelum dia boleh memberikan perhatian kepada orang lain.

Apa yang diberitahu oleh Paulus kepada Timotius juga dapat kita amalkan dalam kehidupan. Setiap hari kita akan bertemu dengan orang yang tidak mengenal Tuhan. Apabila kita memenuhkan tangki oksigen rohani kita dengan memperuntukkan masa untuk membaca firman Tuhan, berdoa, dan membenarkan Roh Kudus bertindak, kita sebenarnya sedang menjaga hubungan kita dengan Tuhan. Kemudian barulah kita boleh menolong orang lain dalam keadaan rohani yang baik.