Pada suatu awal pagi hari Sabtu, ketika saya pelajar tingkatan lima, saya tergesa-gesa pergi ke tempat kerja yang merupakan sebuah pusat permainan boling. Pada petang sehari sebelumnya, saya berada di situ lebih lama untuk mengelap lumpur di lantai jubin kerana penjaga pintu telah jatuh sakit. Saya tidak memaklumkan hal itu kepada bos tentang penjaga pintu tersebut kerana saya ingin memberikan kejutan kepada bos. Lagipun, Tiada apa-apa yang tidak kena! saya fikir.

Tetapi sebenarnya memang ada sesuatu yang berlaku!

Ketika saya tiba di pintu pusat boling, saya melihat air sudah bertakung beberapa inci. Pin boling, beberapa gulung tisu tandas dan beberapa kotak kertas markah terapung-apung di atasnya. Kemudian saya sedar apa yang telah saya lakukan: Ketika mengelap lantai, saya terlupa menutup kepala paip sehingga keesokan harinya! Yang menakjubkan, bos menyambut saya dengan pelukan erat dan sekuntum senyuman—“ Terima kasih kerana mencuba,” katanya.

Saulus ialah orang yang aktif menganiayai dan mengganggu orang Kristian (Kisah Para Rasul 9:1-2) sebelum dia menemui Yesus secara bersemuka dalam perjalanan ke Damsyik (ayat 3-4). Yesus mempersuakan Saulus yang akan dipanggil sebagai rasul Paulus tentang tindakannya yang penuh dosa. Oleh sebab dia menjadi buta kerana pengalaman itu, Saulus/Paulus memerlukan seorang Kristian, yakni Ananias untuk memulihkan penglihatannya melalui tindakan yang penuh keberanian dan kasih kurnia (ayat 17).

Saulus dan saya telah menerima kasih kurnia yang tidak diduga.

Kebanyakan orang menyedari bahawa kehidupan mereka adalah kucar-kacir. Mereka memerlukan harapan penyelamatan, bukannya kata-kata teguran. Muka yang garang dan perkataan yang tajam boleh sahaja menghalang mereka melihat harapan tersebut. Seperti Ananias, ataupun bos saya sendiri, pengikut Yesus harus menjadi saluran kasih kurnia dalam pertemuan dengan orang lain yang boleh mengubah kehidupan.