“Perubahan: Dari Dalam ke Luar atau dari Luar ke Dalam?” begitulah tajuk berita yang mencerminkan trend popular masa kini—idea yang mengatakan bahawa perubahan luaran seperti postur yang lebih baik boleh menjadi cara yang mudah untuk mengubah perasaan kita secara dalaman—mungkin juga mengubah kehidupan kita.

Ini merupakan sebuah konsep yang menarik—siapa antara kita tidak mahu memperbaiki hidup menjadi semudah sebuah wajah baru? Ramai antara kita sudah tahu bahawa mengubah tabiat yang sudah berakar umbi kelihatan sangat mustahil. Jadi dengan berfokus kepada perubahan luaran yang sederhana, orang berharap terdapat jalan yang lebih cepat untuk memperbaiki hidup kita.

Tetapi walaupun perubahan sedemikian boleh memperbaiki kehidupan kita, Alkitab mengajak kita mencari transformasi yang lebih mendalam—sesuatu yang mustahil jika dilakukan sendirian. Pada hakikatnya dalam Galatia 3, Paulus mempertikaikan bahawa sekalipun hukum Taurat Tuhan ditetapkan—hadiah yang tidak ternilai harganya serta memperlihatkan kehendak-Nya—ini pun tidak dapat menyembuhkan kehancuran hidup umat Tuhan (ayat 19–22). Kesembuhan dan kebebasan sejati memerlukan mereka “diliputi” dalam Kristus (ayat 27) melalui Roh-Nya (5:5). Setelah dikuduskan serta dibentuk melalui Kristus, mereka akan menemukan identiti dan nilai sebenar mereka—setiap orang percaya secara sama rata adalah waris kepada semua janji Tuhan (3:28–29).

Kita mudah sahaja memperuntukkan banyak tenaga dalam teknik-teknik memperbaiki diri. Namun perubahan yang terdalam dan paling memuaskan dalam jiwa, datang ketika kita mengetahui kasih Kristus yang melampaui segala pengetahuan (Efesus 3:17-19)—kasih yang mengubah segalanya.