Satu pasukan jemputan telah memimpin sesi pujian dan penyembahan di gereja kami, dan kasih mereka terhadap Tuhan amat menyentuh hati. Kami dapat melihat dan merasai keghairahan mereka.
Kemudian para pemuzik menyatakan bahawa kesemua mereka ialah bekas banduan. Tiba-tiba lagu mereka mengandungi maksud yang istimewa bagi saya, dan saya melihat sebab kata-kata pujian mereka menjadi sangat bererti bagi mereka. Penyembahan mereka merupakan kesaksian tentang hidup yang hancur tetapi dipulihkan.
Dunia boleh sahaja mengecap kejayaan. Tetapi kisah-kisah kegagalan pada masa lampau juga menawarkan harapan kepada setiap orang. Kisah itu meyakinkan kita bahawa Tuhan mengasihi kita tidak kira berapa kali kita gagal. Menurut Pastor Gary Inrig, Ibrani 11 yang selalu digelar sebagai Dewan Kemasyhuran Orang Beriman, juga boleh digelar sebagai Dewan Kepulihan Orang Gagal. “Hampir tiada individu dalam bab itu tidak mempunyai cacat cela yang serius dalam hidup mereka,” katanya. “Tetapi Tuhan bekerja untuk memulihkan kegagalan itu. … Itulah prinsip agung tentang kasih kurnia Tuhan.”
Saya suka penghiburan dalam Mazmur 145, yang mencatatkan “perbuatan [Tuhan] yang mengagumkan” (ayat 5–6) dan kemuliaan kerajaan Tuhan (ayat 11). Mazmur ini menghuraikan belas kasihan-Nya (ayat 8-9) dan kesetiaan-Nya (ayat 13)— kemudian dengan segera memberitahu kita bahawa Dia membangunkan orang yang telah jatuh (ayat 14). Kesemua sifat-Nya dinyatakan ketika Dia mengangkat kita. Dia benar-benar bekerja untuk memulihkan kita.
Pernahkah anda gagal sebelum ini? Kita semua pernah mengalaminya. Sudahkah anda dipulihkan? Kisah hidup semua orang yang telah ditebus merupakan kisah tentang kasih kurnia Tuhan.