Kami berasa sangat gembira untuk berpindah kerana kerja suami saya. Tetapi, masa depan yang tidak diketahui serta cabaran baru menyebabkan saya berasa cemas. Saya harus berfikir untuk mengemas dan mempersiapkan barang-barang, mencari tempat tinggal, mencari pekerjaan baru untuk saya sendiri, membiasakan diri di bandar baru dan menetap di situ. Semua hal itu menyebabkan saya naik resah. Ketika saya mempersiapkan senarai yang “harus dibuat”, kata-kata yang ditulis oleh rasul Paulus bergema dalam minda saya: Jangan risau, tetapi berdoalah (Filipi 4:6-7).

Jika ada seseorang yang “layak” berasa risau akan hal-hal yang tidak diketahui dan cabaran-cabaran pada masa hadapan, Paulus merupakan orang itu. Dia ditimpa kejadian kapal karam, malah dia pernah dipukul dan dipenjarakan. Dalam suratnya kepada jemaah di Filipi, dia mendorong rakan-rakannya yang juga bakal menghadapi hal-hal yang tidak diketahui, “Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah” (ayat 6).

Kata-kata Paulus menguatkan saya. Hidup ini mengandung ketidakpastian—sama ada dalam bentuk peralihan besar dalam kehidupan, isu-isu keluarga, masalah kesihatan, mahupun masalah kewangan. Tetapi apa yang selalu saya belajar adalah Tuhan mempedulikan kita. Dia mengajak kita melepaskan ketakutan akan perkara-perkara yang tidak diketahui dengan menyerahkan semua kebimbangan kepada-Nya. Jika kita berbuat demikian, maka Dia Tuhan Yang Maha Tahu berjanji bahawa kedamaian-Nya, “yang melebihi pengertian manusia akan memelihara” hati kita dan fikiran kita dalam Kristus Yesus (ayat 7).