Sebagai salah seorang konduktor orkestra yang terkenal pada abad kedua puluh, Arturo Toscanini diingati kerana dia selalu memberikan penghargaan kepada orang yang layak menerimanya. Dalam karya David Ewen yang bertajuk Dictators of the Baton, penulis itu menghuraikan keadaan ketika anggota Orkestra Filharmonik New York bangkit dan bersorak untuk Toscanini pada akhir sesi latihan Simfoni Kesembilan Beethoven. Ketika tepukan sanjungan itu reda, sambil menangis serta suara yang tertahan-tahan, Arturo berkata: “Bukan saya … Beethoven yang hebat! … Toscanini bukan siapa-siapa pun.”

Dalam surat rasul Paulus, dalam Perjanjian Baru, dia juga enggan menerima pujian atas wawasan dan pengaruh kerohaniannya. Dia tahu bahawa dia adalah seperti bapa dan ibu rohani kepada semua orang yang beriman kepada Kristus. Dia mengaku bahawa dia telah bekerja keras dan banyak kali menderita untuk mendorong orang percaya berpegang teguh pada iman, harapan, dan kasih dalam Kristus (1 Korintus 15:10). Akan tetapi dia juga menyedari bahawa dia tidak boleh menerima pujian daripada orang yang diinspirasikan oleh iman, kasih serta wawasannya.

Pada hakikatnya, demi kepentingan para pembacanya dan kita, Paulus berkata, “Bukan saya, saudara dan saudari sekalian. Kristus yang hebat … Paulus bukan siapa-siapa pun.” Kita hanyalah saksi bagi Tuhan yang layak menerima pujian kita.