Ketika peminat-peminat Star Wars dari seluruh dunia menanti-nantikan penayangan Episod 8, “The Last Jedi,” orang ramai terus menganalisis kejayaan filem ini yang luar biasa sejak tayangan pertama pada tahun 1977. Wartawan media bagi CNNMoney, iaitu Frank Pallotta berkata bahawa Star Wars berhubung kait dengan banyak orang yang merindukan “harapan dan kuasa baharu, pada ketika dunia memerlukan wira.”

Pada masa kelahiran Yesus, orang Israel sedang ditindas dan berharap agar Mesias yang sudah lama dijanjikan itu datang. Ramai orang menjangkakan seorang wira akan membebaskan mereka daripada kezaliman pemerintah Roma, tetapi Yesus tidak datang sebagai wira politik ataupun tentera. Sebaliknya, Dia datang ke kota Betlehem sebagai bayi. Oleh itu ramai orang tidak tahu siapa Dia. Rasul Yohanes menulis, “Dia datang kepada milik-Nya sendiri, tetapi milik-Nya tidak menerima-Nya” (Yohanes 1:11).

Yesus bukan sekadar seorang wira, Dia datang sebagai Penyelamat kita. Dia telah lahir untuk menyinari cahaya Tuhan ke dalam kegelapan dan menyerahkan hidup-Nya supaya semua orang yang menerima Dia boleh diampuni dan dibebaskan daripada kuasa dosa. Yohanes memanggil Dia “Anak Tunggal yang datang daripada Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran” (ayat 14).

“Namun demikian, Dia memberikan hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya” (ayat 12). Sesungguhnya, Yesus ialah satu-satunya harapan sejati yang diperlukan oleh dunia.