Ketika kami memandu melalui utara Michigan, Marlene berseru, “Sukar untuk mempercayai betapa besarnya dunia ini!” Dia memberikan komen itu ketika kami melepasi sebuah papan tanda yang ditandakan garis selari yang ke-45—titik pertengahan antara garisan khatulistiwa dan Kutub Utara. Kami bercakap-cakap betapa kerdilnya kami dan betapa besarnya dunia ini. Tetapi jika dibandingkan dengan saiz alam semesta, bumi kita ini hanyalah bersaiz sebutir habuk.
Jika dunia kita ini besar, dan alam semesta ini jauh lebih luas, maka berapakah besarnya Tuhan yang telah menciptakan semua ini dengan kuasa? Alkitab memberitahu kita, “Kerana melalui [Yesus] segala sesuatu diciptakan: yang wujud di bumi dan di syurga, yang kelihatan dan tidak kelihatan, baik yang bertakhta mahupun yang berkuasa, baik pemerintah mahupun kerajaan; segala-galanya telah dicipta melalui-Nya dan untuk-Nya” (Kolose 1:16).
Ini ialah berita baik kerana Yesus yang menciptakan alam semesta ini telah datang untuk menyelamatkan kita daripada dosa setiap hari dan selamanya. Pada malam sebelum Dia mati, Yesus berkata, “Segala ini Kukatakan kepadamu supaya kamu beroleh sejahtera di dalam Aku. Di dalam dunia kamu akan menghadapi penderitaan; tetapi tegapkanlah hatimu, kerana Aku telah menewaskan dunia” (Yohanes 16:33).
Ketika menghadapi cabaran besar mahupun kecil dalam kehidupan, kita berseru kepada Dia yang telah menciptakan alam semesta, mati dan hidup semula, dan menang ke atas kehancuran dunia ini. Ketika kita berada dalam masa pergelutan kerana kesukaran, Dia dengan penuh kuasa menghulurkan damai sejahtera-Nya.