Masalah-masalah kehidupan boleh sahaja membuatkan kita mudah meragam dan berasa serba tidak kena. Namun kita tidak patut membiarkan kelakuan buruk ini berterusan kerana ia akan menyakiti hati orang yang kita sayangi dan menyebarkan kesengsaraan kepada orang di sekeliling kita. Keadaan ini hanya boleh berubah setelah kita belajar untuk bersikap mesra terhadap orang lain.
Perjanjian Baru mempunyai satu perkataan bagi sifat baik yang membetulkan sikap kita yang tidak ramah—lemah lembut, istilah yang bermaksud jiwa dan budi yang baik. Efesus 4:2 mengingatkan kita, “Kamu haruslah selalu rendah hati dan lemah lembut.”
Sifat lemah lembut adalah kerelaan untuk menerima keterbatasan dan penyakit kita tanpa melepaskan kemarahan ke atas orang lain. Sifat lemah lembut akan menyatakan kesyukuran bagi perkhidmatan yang kelihatan paling sederhana pun, serta bertoleransi terhadap orang yang tidak melayani kita dengan baik. Sifat lemah lembut membantu kita sabar terhadap mereka yang menimbulkan kesusahan—terutamanya budak-budak kecil yang membuat bising; kerana berbuat baik terhadap kanak-kanak merupakan sifat yang patut dimiliki oleh seseorang yang ramah dan lemah lembut. Orang yang bersifat lemah lembut berkata secara lembut walaupun semasa berhadapan dengan provokasi. Mereka yang lemah lembut boleh berdiam diri; kerana kesenyapan yang tenang biasanya merupakan respons yang paling baik di hadapan kata-kata kasar.
Yesus adalah “lemah lembut dan rendah hati” (Matius 11:29). Jika kita meminta-Nya, Dia akan membentuk kita semula dengan mewujudkan imej-Nya dalam diri kita menurut masa-Nya. Seorang penulis dari Scotland, George MacDonald berkata, “[Tuhan] tidak ingin mendengar [kita] meluahkan kata-kata yang menjengkelkan atau menyakiti hati orang lain. Ini kerana Yesus telah dilahirkan untuk membebaskan kita daripada segala dosa yang disebabkan oleh perkataan dan dosa-dosa lain.”