Lama sebelum Joseph Mohr dan Franz Gruber menggubah lagu popular “Malam Kudus,” Angelus Silesius telah menulis:
Nah! Pada malam yang sunyi, seorang anak Tuhan telah lahir,
Orang yang hilang atau diabaikan, kini telah ditemukan.
O manusia, semoga jiwamu menjadi tenang, seperti malam sunyi itu.
Tuhan yang mendiami dalam hatimu boleh membetulkan segalanya.
Silesius, seorang rahib berbangsa Poland, menerbitkan puisi itu pada tahun 1657 dalam The Cherubic Pilgrim (Penziarah yang Suci). Semasa ibadat tahunan sehari sebelum Krismas yang diadakan oleh gereja kami sedang berlangsung, pasukan koir telah menyanyikan sebuah lagu persembahan yang indah bertajuk “Semoga Jiwamu Menjadi Tenang seperti Malam Sunyi itu.”
Hari Krismas mempunyai dua misteri ini: Tuhan menjadi salah seorang daripada kita supaya kita boleh menjadi satu dengan Dia. Yesus menanggung penderitaan untuk semua kesalahan supaya kita boleh menjadi benar. Itulah sebabnya rasul Paulus menulis, “Sesiapa yang ada dalam Kristus adalah ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru. Semuanya datang daripada Allah, yang telah mendamaikan kita dengan diri-Nya melalui Kristus” (2 Korintus 5:17-18).
Sama ada Krismas kita dikelilingi oleh keluarga dan rakan-rakan atau tidak, kita tahu bahawa Yesus datang untuk lahir dalam hati kita.
Ah, kalaulah hatimu menjadi palung untuk kelahiran-Nya yang ajaib, Tuhan akan sekali lagi menjadi anak di bumi.