Reginald Fessenden sudah berusaha beberapa tahun untuk merealisasikan komunikasi radio tanpa wayar. Ahli-ahli sains lain berkata bahawa ideanya adalah tidak orthodoks dan aneh, serta meragui dia akan berjaya. Tetapi dia mengumumkan bahawa pada 24 Disember 1906, dia akan menjadi orang pertama yang menyiarkan muzik melalui radio.
Fessenden mengadakan kontrak dengan sebuah syarikat buah-buahan. Mereka telah memasang sistem tanpa wayar lebih kurang pada dua belas buah bot untuk saling berkomunikasi tentang penuaian dan pemasaran buah pisang. Pada hari sebelum Krismas, Fessenden berkata bahawa dia telah memaklumkan para operator tanpa wayar yang berada di atas kapal untuk memberi perhatian. Pada pukul 9 mereka mendengar suaranya.
Dilaporkan bahawa dia telah memainkan rakaman sebuah muzik opera, kemudian memainkan violinnya dengan lagu “Malam Kudus” sambil menyanyikan lagu tersebut sehingga selesai. Akhirnya, dia memberikan ucapan Krismas dan membacakan kisah malaikat daripada Lukas 2 yang mengumumkan kelahiran seorang Penyelamat kepada para gembala di Betlehem.
Para gembala di Betlehem lebih daripada dua ribu tahun yang lalu dan anak-anak kapal di atas kapal-kapal Syarikat Buah Bersekutu pada tahun 1906, kedua-dua mereka telah mendengar pesanan akan harapan yang tidak dijangka serta mengejut pada malam yang gelap. Tuhan masih berbicara tentang pesanan akan harapan yang sama kepada kita pada hari ini. Seorang Penyelamat telah lahir bagi kita—Kristus, Tuhan! (Lukas 2:11). Kita boleh menyertai koir yang terdiri daripada para malaikat dan orang percaya yang memuji-muji Tuhan sejak zaman dahulu kala: “Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya” (ayat 14).