Jika anda menikmati gula-gula tongkat sempena hari Krismas, sila ucapkan “danke schön” kepada orang Jerman, kerana gula ini dihasilkan pertama kalinya di kota Cologne. Jika anda meminati bunga poinsetia, katakanlah “gracias” kepada Mexico, kerana itulah tempat asal tumbuhan itu. Jangan juga lupa mengucapkan “merci beaucoup” kepada orang Perancis untuk istilah noel (Krismas), dan memberi sorakan “cheers” kepada orang Inggeris untuk tumbuhan mistletoe yang biasa dilihat pada pokok Krismas.

Tetapi ketika kita menikmati tradisi dan perayaan musim Krismas ini—adat resam yang dikumpulkan dari seluruh dunia—marilah kita memberikan “terima kasih” yang paling tulus dan ikhlas kepada Tuhan kita yang baik, berbelas kasihan dan penuh kasih. Dia yang merupakan alasan utama untuk perayaan Krismas kita: bayi yang lahir di palung orang Yudea lebih daripada 2,000 tahun yang lalu. Malaikat Tuhan mengumumkan kedatangan hadiah ini kepada umat manusia dengan berkata, “Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar … telah lahir seorang Penyelamat bagimu” (Lukas 2:10-11).

Pada hari Krismas ini, meskipun anda sedang menatap kerdipan lampu pokok Krismas dan dikelilingi oleh hadiah-hadiah yang baru dibuka, keterujaan yang sebenar akan datang apabila kita mengalihkan fokus kita kepada bayi yang bernama Yesus, yang datang untuk “menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka” (Matius 1:21). Kelahiran-Nya merentasi tradisi: Itulah fokus utama kita apabila kita memberikan pujian kepada Tuhan bagi hadiah Krismas yang tidak terkatakan ini.