Ketika Andrew Cheatle kehilangan telefon bimbitnya di pantai, dia menyangka bahawa telefon itu tidak akan ditemukan kembali. Bagaimanapun, lebih kurang seminggu kemudian, seorang nelayan yang bernama Glen Kerley menelefon dia. Rupanya dalam perut ikan kod yang seberat 11 kilogram, Kerley menemukan dan mengeluarkan telefon Cheatle yang masih berfungsi selepas dikeringkan.

Hidup ini penuh dengan kisah yang pelik, dan kita menemukan beberapa kisah seperti ini yang tertulis dalam Alkitab. Pada suatu hari, para pemungut cukai datang kepada Petrus lalu bertanya, “Adakah gurumu membayar cukai Bait Suci?” (Matius 17:24). Yesus terus mengubah saat itu kepada sesi pengajaran. Dia mahu Petrus faham akan peranan-Nya sebagai raja. Cukai bukan dipungut daripada anak-anak raja, dan Tuhan Yesus menjelaskan bahawa Dia mahupun anak-anak-Nya, tidak perlu membayar cukai Bait Suci (ayat 25–26).

Namun Yesus ingin berhati-hati supaya tidak menyinggung perasaan (ayat 27), maka Dia pun menyuruh Petrus pergi memancing. (Inilah bahagian yang pelik dalam cerita itu.) Petrus menemukan sekeping wang syiling dalam mulut ikan pertama yang dipancingnya.

Apakah pengajaran sebenar yang ingin disampaikan oleh Yesus kepada kita? Soalan yang lebih tepat adalah, “Apakah peranan Yesus dalam kerajaan Tuhan?” Dia adalah Raja yang sebenarnya—meskipun ramai orang tidak mengakui fakta ini. Apabila kita menerima peranan-Nya sebagai Tuhan dalam hidup kita, kita akan menjadi anak-Nya.

Hidup kita akan terus dipenuhi oleh bermacam-macam tuntutan, tetapi Yesus akan membekalkan kita. Seperti yang pernah dikatakan oleh seorang bekas pastor, David Pompo, “Ketika kita menjala bagi Bapa kita, kita boleh berharap kepada-Nya untuk membekalkan semua keperluan kita.”