Nama burung madu dalam bahasa Inggeris, hummingbird dipilih sempena bunyi dengungan hum apabila burung ini mengepak-ngepakkan sayap. Dalam bahasa-bahasa lain, burung madu dikenali sebagai “pencium bunga” (bahasa Portugis) atau “permata yang terbang” (bahasa Sepanyol). Salah satu nama kegemaran saya untuk burung ini adalah biulu, “kekal dalam pandangan” (bahasa orang Zapotek Mexico). Dengan kata lain, sekiranya anda hanya melihat seekor burung madu untuk sekali, anda tidak akan melupakannya.
Ahli teologi, G. K. Chesterton menulis, “Dunia tidak pernah kekurangan orang yang menginginkan keajaiban, tetapi kekurangan orang yang mensyukuri keajaiban.” Burung madu adalah salah satu keajaiban itu. Apakah yang sangat menarik tentang makhluk kecil ini? Mungkin kerana saiznya yang kecil (secara puratanya burung itu bersaiz lima atau tujuh sentimeter) atau kelajuan sayap yang boleh mengepak 50 hingga 200 kali sesaat.
Kita tidak pasti siapa yang menulis Mazmur 104, tetapi satu perkara yang pasti adalah pemazmur berasa kagum akan keindahan alam. Selepas menghuraikan pelbagai keagungan ciptaan, seperti pokok-pokok araz di Lebanon dan keldai-keldai liar, dia bernyanyi, “Semoga TUHAN bergembira dengan hasil kerja-Nya” (ayat 31). Kemudian dia berdoa, “Semoga renunganku baik di sisi-Nya” (ayat 34).
Alam semula jadi memiliki banyak benda yang sukar dilupakan kerana keindahan dan kesempurnaannya. Bagaimanakah kita boleh merenungkan semua keajaiban itu dan menyenangkan hati Tuhan? Kita boleh memerhati, bersukacita, dan berterima kasih kepada Tuhan ketika kita merenungkan hasil kerja-Nya dan mengecap keajaiban tersebut.