Pada akhir tahun, tekanan daripada kerja-kerja yang tidak disiapkan boleh membebani kita. Tanggungjawab dan tugas di rumah seakan-akan tiada penghujungnya, dan tugas hari ini yang belum selesai harus diteruskan pada keesokan harinya. Tetapi ada masa-masa dalam perjalanan iman kita yang kita patut berhenti untuk sejenak, merayakan kesetiaan Tuhan dan tugas-tugas yang sudah diselesaikan.
Selepas perjalanan misi pertama Paulus dan Barnabas, “mereka berlayar ke Antiokhia, tempat mereka dahulunya diserahkan kepada anugerah Allah untuk tugas yang baru diselesaikan mereka” (Kisah Para Rasul 14:26). Walaupun mereka masih mempunyai banyak tugas untuk berkongsi mesej tentang Yesus kepada orang lain, mereka mengambil masa untuk bersyukur atas apa yang sudah dilaksanakan. “Setelah sampai di sana, mereka menghimpunkan jemaah lalu menceritakan segala yang dilakukan Allah melalui mereka dan bagaimana Allah telah membukakan pintu kepercayaan bagi orang bangsa asing” (ayat 27).
Apakah yang telah dilakukan Tuhan melalui anda sepanjang tahun ini? Bagaimanakah Dia telah membuka pintu iman bagi seseorang yang anda kenal dan kasihi? Dengan cara yang kita tidak dapat bayangkan, Dia sedang bekerja melalui kita, untuk melaksanakan tugas-tugas yang seakan-akan tidak penting atau tidak lengkap.
Apabila kita berasa kecewa terhadap tugas-tugas yang belum selesai dalam perkara melayani Tuhan, janganlah kita lupa untuk bersyukur kepada Tuhan kerana Dia telah menggunakan pelbagai cara untuk bekerja melalui kita. Dengan bersukacita terhadap apa yang telah dilakukan oleh Tuhan berdasarkan anugerah-Nya, Dia akan mempersiapkan kita untuk pergi ke peringkat hidup yang seterusnya!