Ketika saya memasuki ruang ibadat yang penuh dengan muzik, saya memerhatikan orang ramai sedang berkumpul untuk merayakan ketibaan Tahun Baru. Sukacita memenuhi hati saya dengan harapan, ketika saya mengingat doa-doa pada tahun-tahun sebelumnya. Jemaah kami pernah berdoa dengan dukacita untuk kanak-kanak yang memberontak, kematian orang yang dikasihi, kehilangan pekerjaan, dan hubungan yang hancur. Namun kami juga mengalami anugerah Tuhan ketika kami mengingat semula Dia telah mengubah hati dan menyembuhkan hubungan antara orang. Kami telah merayakan bersama bagi doa yang terkabul, perkahwinan, graduan dan pembaptisan anggota keluarga Tuhan. Kami pernah menyambut anak yang baru dilahirkan, anak yang dijadikan anak angkat, ataupun anak yang didedikasikan kepada Tuhan, dan banyak lagi kenangan.

Apabila saya mengingat kembali kisah-kisah pengujian yang pernah dihadapi oleh gereja kami, lebih kurang seperti Yeremia mengingat kembali “kesengsaraan” dan “pengembaraan”nya (Ratapan 3:19), saya percaya bahawa “kerana kasih setia TUHAN tidak pernah lenyap, belas kasihan-Nya tiada akan pudar” (ayat 22). Seperti nabi Yeremia yakin sekali lagi pada kesetiaan Tuhan sejak masa-masa yang lalu, kata-katanya menghibur saya: “TUHAN itu baik bagi orang yang menanti-nantikan Dia, bagi jiwa yang mencari hadirat-Nya” (ayat 25).

Pada malam itu, setiap orang di gereja kami merupakan kenyataan akan kasih Tuhan yang mengubah kehidupan. Apa jua yang bakal kita hadapi pada tahun yang mendatang, sebagai anggota tubuh Kristus yang saling menyokong, kita boleh bersandar kepada Tuhan. Ketika kita terus mencari-Nya serta saling mendorong seperti yang dilakukan oleh Yeremia, kita boleh mendapati bahawa harapan kita sedang dibuktikan benar oleh memori tentang keperibadian Tuhan yang tidak berubah dan boleh diharap.