Adakah anda ingin memupuk perasaan bersyukur yang lebih besar? George Herbert, seorang penyair berbangsa British abad ketujuh belas, menggalakkan para pembaca mencapai matlamat itu dalam puisinya “Kesyukuran”: “Kepada Engkau yang memberi begitu banyak kepadaku, berikanlah aku satu benda lagi: hati yang bersyukur.”
Herbert menyedari satu-satunya perkara yang diperlukan untuk bersyukur ialah kesedaran tentang berkat-berkat yang telah diberikan oleh Tuhan kepadanya.
Alkitab mengisytiharkan Kristus Yesus sebagai sumber segala berkat dalam Roma 11:36, “Segala-galanya daripada Dia, melalui Dia dan kepada Dia.” “Segalanya” merangkumi hal yang luar biasa dan yang biasa, hadiah harian dalam kehidupan kita. Segala yang kita terima dalam kehidupan adalah langsung daripada Bapa Syurgawi (Yakobus 1:17), dan Dia dengan rela memberikan kita hadiah-hadiah itu kerana Dia mengasihi kita.
Untuk meningkatkan kesedaran tentang berkat-berkat Tuhan dalam kehidupan saya, saya sedang belajar untuk memupuk hati yang bersyukur akan sumber segala kegembiraan yang saya alami setiap hari, terutamanya hal-hal yang sering saya anggap lewa. Hari ini termasuklah berlari pada waktu pagi yang sejuk dan segar, perjumpaan dengan rakan-rakan pada waktu petang, pantri yang disediakan dengan bahan makanan supaya saya dapat membuat roti bakar dengan anak-anak perempuan saya, menikmati keindahan dunia di luar tingkap, serta aroma kopi yang baru dibancuh.
Apakah yang “begitu banyak” telah diberikan kepada anda oleh Tuhan? Dengan membuka mata kita kepada berkat-berkat tersebut akan membantu kita membentuk hati yang bersyukur.