Apakah yang anda akan lakukan jika sebuah gunung menghalang perjalanan anda? Kisah Dashrath Manjhi boleh memberi inspirasi kepada kita. Apabila isterinya meninggal dunia kerana dia tidak dapat membawanya ke hospital untuk menerima rawatan dengan segera, Manjhi melakukan sesuatu yang kelihatan mustahil dalam pandangan orang lain. Dia menghabiskan masa selama 22 tahun untuk memahat satu rekahan besar pada sebuah gunung agar penduduk kampung yang lain boleh pergi ke hospital tempatan untuk menerima rawatan. Sebelum dia meninggal dunia, kerajaan India meraikan pencapaiannya.

Pembinaan semula Bait Suci TUHAN pastinya kelihatan mustahil untuk Zerubabel, salah seorang pemimpin Israel yang pulang daripada pembuangan. Orang ramai lemah semangat, menghadapi tentangan daripada musuh, dan kekurangan sumber tenaga atau tentera besar. Tetapi Tuhan menghantar Zakharia untuk mengingatkan Zerubabel bahawa tugas itu akan memerlukan sesuatu yang lebih kuat daripada kekuatan ketenteraan, kuasa individu, ataupun sumber buatan manusia. Tugas itu memerlukan kuasa Roh Tuhan (Zakharia 4:6). Dengan jaminan pertolongan daripada Tuhan, Zerubabel mempercayai bahawa Tuhan akan meratakan segala gunung yang menghalang pembinaan semula Bait Suci, serta membawa pemulihan kepada masyarakat (ayat 7).

Apakah yang harus kita lakukan jika terdapat “gunung” di hadapan kita? Kita mempunyai dua pilihan: sama ada bergantung kepada kekuatan kita sendiri, ataupun mempercayai kuasa Roh Tuhan. Apabila kita mempercayai kuasa-Nya, Dia akan meratakan gunung itu atau memberi kita kekuatan dan daya ketahanan untuk menghadapinya.