Bapa saya pernah berkata, “Sebelah telinga saya pekak dan sebelah lagi tertutup”. Saya juga menghadapi gangguan pendengaran, jadi saya memakai satu set alat bantu pendengaran.

Pada kebanyakan masa, peranti ini berfungsi dengan baik, kecuali dalam persekitaran yang bising. Dalam situasi begini, alat bantu pendengaran saya akan menerima setiap suara dalam bilik, akibatnya saya tidak dapat mendengar orang yang bercakap di hadapan saya.

Begitu juga dengan kebudayaan kita: bunyi janggal yang besar dapat menenggelamkan suara Tuhan yang perlahan. “Di manakah patutnya firman Tuhan dijumpai, di manakah firman Tuhan itu akan bergema?” penyair T.S. Eliot bertanya. “Bukan di sini, sebab tidak cukup senyap.”

Mujurnya, alat bantu pendengaran saya mempunyai tetapan yang menapis bunyi di sekeliling dan membolehkan saya mendengar hanya suara yang ingin saya dengar. Dengan cara yang sama, walaupun banyak suara kedengaran di sekeliling kita, jika kita menenangkan jiwa kita dan mendengar, kita akan mendengar “suara [Tuhan] yang lembut” (1 Raja-Raja 19:11-12).

Dia bercakap kepada kita setiap hari, mengingatkan kita ketika kita berada dalam kegelisahan dan ada kehendak diri. Dalam kesedihan yang mendalam, mahupun dalam sukacita kita yang tidak sempurna dan tidak memuaskan, Dia tetap menghiburkan kita.

Tetapi secara dasarnya, Tuhan bercakap kepada kita dalam firman-Nya (1 Tesalonika 2:13). Semasa anda mengambil buku-Nya dan membaca, anda juga akan mendengar suara-Nya. Dia mengasihi anda lebih daripada yang anda tahu, dan Dia mahu anda mendengar apa yang dikatakan-Nya.