“Saya menghidapi kanser.” Saya mahu menahankan air mata apabila ibu menyampaikan berita ini kepada saya. Tetapi saya masih menangis. Tiada sesiapa ingin mendengar pengumuman itu sekalipun. Tetapi ini adalah perjuangan ibu dengan kanser untuk kali ketiga. Selepas menjalani siri pemeriksaan mamogram dan biopsi, ibu mengetahui bahawa dia mempunyai tumor berbahaya di bawah lengannya.

Walaupun ibu saya yang harus menghadapi berita buruk ini, dia pula menghiburkan saya. Responsnya membuka mata saya: “Saya tahu Tuhan sentiasa baik terhadap saya. Dia sentiasa setia.” Bahkan ketika dia menjalani pembedahan yang sukar, disusuli dengan rawatan radiasi, ibu tetap yakin dengan kehadiran dan kesetiaan Tuhan.

Seperti Ayub. Ayub kehilangan anak-anak, kekayaan dan kesihatannya. Tetapi selepas mendengar berita itu, Ayub 1:20 memberitahu kita Ayub “bersujud di tanah dan menyembah.” Apabila disarankan untuk mengutuk Tuhan, dia berkata, “Takkan kita hanya mahu menerima yang baik daripada Allah, dan tidak mahu menerima yang buruk?” (2:10). Inilah respons yang sukar dipercayai. Walaupun Ayub kemudiannya mengadu, tetapi akhirnya dia menerima kenyataan bahawa Tuhan tidak pernah berubah. Ayub tahu bahawa Tuhan masih menyertai dan menjaga dia.

Bagi kebanyakan kita, respons pertama kita bukan meninggikan pujian semasa kita mengalami kesukaran. Kadang-kadang kesakitan pada masa kesukaran teramat sangat sehingga kita melenting dalam ketakutan atau kemarahan. Tetapi apabila saya melihat respons ibu, dia mengingatkan saya bahawa Tuhan itu wujud dan baik. Dia akan membantu kita melalui masa-masa yang sukar.