Labah-labah. Saya tidak tahu jika ada kanak-kanak yang suka akannya. Sekurang-kurangnya jangan muncul di bilik mereka … pada waktu tidur. Tetapi ketika anak perempuan saya bersiap sedia untuk tidur, dia terlihat seekor dekat dengan katilnya. “Baaaapa !!!!! Laabaahh-laabaahh!!!!! “ dia berteriak. Walaupun saya mencari-cari di serata tempat, saya tidak dapat bertemu pendatang yang berkaki lapan itu. “Dia tidak akan menyakitkan awak,” saya meyakinkannya. Dia tidak percaya. Hanya setelah saya berjanji bahawa saya akan berada di sisi tempat tidur dan mengawalnya, barulah dia bersetuju untuk tidur.

Ketika anak perempuan saya berbaring di tempat tidurnya, saya memegang tangannya. Saya berkata kepadanya, “Saya sangat mengasihimu. Saya ada di sini. Tetapi kamu tahu tak? Tuhan mengasihi kamu lebih daripada ayah dan ibu. Dia sangat dekat. Kamu boleh sentiasa berdoa kepada-Nya apabila kamu takut.” Kata-kata ini menghiburkannya, lalu dia pun tidur dengan aman.

Alkitab berulang kali meyakinkan kita bahawa Tuhan sentiasa dekat (Mazmur 145:18; Roma 8:38-39; Yakobus 4:7-8), tetapi kadang-kadang kita bergelut untuk mempercayainya. Mungkin itulah sebabnya Paulus berdoa untuk orang percaya di Efesus agar mereka dikurniakan kekuatan dan kuasa untuk memahami kebenaran itu (Efesus 3:16). Dia tahu bahawa apabila kita ketakutan, kita terlupa bahawa Tuhan sentiasa mendekati kita. Seperti bagaimana saya dengan penuh kasih sayang memegang anak perempuan saya ketika dia tidur pada malam itu, Bapa Syurgawi kita yang penyayang sentiasa dekat bersama kita, sedekat doa.