“Kapten telah memasang isyarat pakai tali pinggang keledar, ini bermaksud kita sedang memasuki kawasan udara yang bergelora. Sila kembali ke tempat duduk anda dengan serta-merta dan pasangkan tali pinggang keledar di tempat duduk anda.” Pramugara penerbangan memberikan amaran itu kerana dalam keadaan cuaca yang buruk, penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar boleh tercedera. Setelah para penumpang duduk di tempat mereka dengan selamat, mereka baru dapat melalui kawasan yang bergelora dengan selamat.
Kebanyakan masa, kehidupan tidak memberi amaran kepada kita tentang pengalaman mencabar yang akan datang. Tetapi Bapa kita yang penuh kasih mengetahui dan mempedulikan pergelutan kita, dan Dia mengajak kita menyerahkan kebimbangan, kesakitan hati dan ketakutan kita kepada-Nya. Alkitab memberitahu kita, “Kita tidaklah mempunyai Imam Besar yang tidak dapat merasakan kelemahan kita. Sebaliknya dalam segala hal Dia telah menghadapi godaan seperti yang kita hadapi, tetapi Dia tidak melakukan dosa. Oleh itu, marilah kita tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia, supaya kita mendapat belas kasihan dan kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya” (Ibrani 4:15-16).
Ketika gelora menimpa kehidupan kita, menghadap Bapa kita dalam doa adalah perkara terbaik yang boleh kita lakukan. Ungkapan “kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya”—bermaksud bahawa di hadapan-Nya kita dapat “dilekap” dalam kedamaian pada masa yang mengancam, kerana kita membawa kebimbangan kita kepada Dia yang jauh lebih hebat daripada segala sesuatu! Apabila hidup terasa sangat membebankan, kita boleh berdoa. Dia boleh membantu kita melalui gelora kehidupan.