Apabila anak-anak saya bertengkar dan datang kepada saya untuk menyalahkan satu sama lain, saya mendengar penerangan setiap anak secara berasingan. Oleh sebab kedua-dua pihak bersalah, pada akhir perbualan kami, saya bertanya mereka apa itu tindakan yang wajar dan adil untuk perbuatan satu sama lain. Kedua-dua mereka mencadangkan hukuman untuk adik-beradik yang lain. Namun mereka amat hairan sebab saya pula memberi mereka hukuman yang dicadangkan oleh mereka untuk satu sama lain. Tiba-tiba, kedua-dua anak saya menyeru “tidak adil” bagi hukuman yang dikenakan ke atas mereka—walaupun hukuman itu disifatkan sesuai apabila ditujukan kepada orang lain.
Anak-anak saya menunjukkan apa yang ditentangi oleh Tuhan—“orang yang tidak mengamalkan belas kasihan” (Yakobus 2:13). Yakobus mengingatkan kita supaya tidak menunjukkan sikap pilih kasih terhadap orang kaya, bahkan kepada diri sendiri, sebaliknya Tuhan menghendaki kita mengasihi orang lain seperti kita mengasihi diri kita (ayat 8). Daripada memperalatkan orang lain untuk mendapatkan keuntungan bagi diri sendiri, atau memandang rendah terhadap orang tidak membawa manfaat kepada kita, Yakobus memerintah kita menjadi orang yang tahu bahawa kita telah dilimpahkan dengan belas kasihan dan pengampunan Tuhan yang begitu besar dan kita sepatutnya memberi belas kasihan ini kepada orang lain.
Tuhan telah memberikan belas kasihan-Nya dengan murah hati. Oleh itu, dalam semua urusan kita dengan orang lain, ingatlah belas kasihan-Nya yang diperlihatkan kepada kita dan hulurkannya kepada orang lain.