“Rumpai merupakan tumbuhan yang tumbuh di tempat yang anda tidak menginginkannya,” kata ayah saya sambil menyerahkan sebatang cangkul kepada saya. Saya ingin membiarkan pohon jagung yang telah tumbuh “secara sukarela” terus bertumbuh antara kacang pis. Tetapi ayah yang membesar di ladang ini, mengarahkan saya menariknya keluar. Batang jagung itu akan menyebabkan kacang pis tercekik dan mencuri nutriennya.

Manusia bukanlah tumbuh-tumbuhan—kita mempunyai fikiran kita sendiri dan kehendak bebas yang diberikan Tuhan. Tetapi kadang-kadang kita cuba mekar di tempat yang bukan menurut kehendak Tuhan.

Anak Raja Saul, Yonatan, seorang putera dan pahlawan, sebenarnya boleh berbuat sedemikian. Dia mempunyai sebab yang munasabah untuk menjadi raja. Tetapi dia melihat berkat Tuhan pada Daud dan menyedari iri hati dan keangkuhan bapanya sendiri (1 Samuel 18:12–15). Jadi, daripada merebut takhta yang tidak akan menjadi miliknya, Yonatan menjadi sahabat rapat Daud, bahkan menyelamatkan nyawanya (19:1-6, 20:1-4).

Ada orang mengatakan bahawa Yonatan membuat pengorbanan besar. Tetapi bagaimana kita ingin dikenangkan? Seperti Saul yang bercita-cita tinggi, yang berpegang pada kerajaannya dan kehilangannya? Atau seperti Yonatan, yang melindungi kehidupan seorang lelaki yang akan menjadi nenek moyang Yesus yang disanjung?

Rancangan Tuhan adalah sentiasa lebih baik daripada rancangan kita. Kita boleh memilih untuk melawannya dan menyerupai rumpai yang tumbuh di tempat yang salah. Atau kita boleh menerima arahan-Nya dan menjadi pokok yang mekar dan berbuah di kebun-Nya. Dia membenarkan kita membuat pilihan.