Ketika anak lelaki saya, Xavier berusia enam tahun, seorang kawan melawat kami dengan membawa anak kecilnya dan Xavier ingin memberinya beberapa mainan. Saya berasa gembira kerana kemurahan hati anak kami, sehingga dia menawarkan haiwan mainan yang suami saya telah bersusah-payah mencari di beberapa kedai di beberapa buah bandar. Oleh sebab kawan saya tahu tentang kesukaran untuk membeli mainan itu, maka dia cuba menolak dengan sopan. Namun, Xavier menghadiahi anaknya mainan itu dan berkata, “Ayah saya memberi saya banyak mainan untuk dikongsikan.”
Walaupun saya ingin mengatakan Xavier telah belajar sifat memberi dengan kemurahan daripada saya, saya sering menyimpan sumber saya daripada Tuhan dan orang lain. Tetapi apabila saya ingat bahawa Bapa saya yang di syurga memberi saya semua yang saya miliki dan perlukan, saya mendapati bahawa lebih mudahnya untuk berkongsi dengan orang lain.
Dalam Perjanjian Lama, Tuhan memerintah orang Israel mempercayai Dia dengan memberikan sebahagian daripada semua yang diberikan-Nya kepada para imam Lewi, golongan yang membantu orang lain yang kekurangan. Apabila mereka enggan memberi, nabi Maleakhi berkata mereka merompak Tuhan (Maleakhi 3:8-9). Tetapi jika mereka rela memberi, ini menunjukkan mereka mempercayai janji Tuhan bahawa Dia akan melindungi dan membekalkan keperluan mereka (ayat 10-11), orang lain juga akan mengenal mereka sebagai orang yang diberkati Tuhan (ayat 12).
Sama ada kita menguruskan kewangan kita, jadual kita, atau hadiah yang diamanahkan oleh Tuhan kepada kita, memberi boleh menjadi satu perbuatan menyembah. Pemberian secara bebas dan tanpa ketakutan dapat menunjukkan keyakinan kita dalam penjagaan Bapa kita yang penuh kasih — Pemberi yang murah hati.