Tubuh kita bertindak balas terhadap perasaan cemas dan ketakutan. Rasa berat yang dirasai dalam perut kita, bersama dengan hati yang berdebar-debar ketika kita menarik nafas, semua ini menunjukkan tanda kegelisahan. Sifat fizikal kita mengingatkan kita supaya tidak mengabaikan perasaan yang tidak menyenangkan ini.
Murid-murid Yesus berasa sangat takut pada satu malam setelah Yesus melakukan keajaiban yang memberi makan kepada lebih daripada lima ribu orang. Tuhan telah menghantar mereka ke Betsaida supaya Dia boleh berdoa dengan sendirian. Pada waktu malam, apabila mereka mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah bertentangan, tiba-tiba mereka melihat Dia berjalan di atas air. Oleh sebab mereka menyangka Dia ialah hantu, lalu mereka menjadi sangat takut (Markus 6:49–50).
Tetapi Yesus meyakinkan mereka, memberitahu mereka supaya jangan takut dan tabahkan diri. Ketika Dia masuk ke dalam perahu mereka, angin pun menjadi teduh dan akhirnya mereka sampai ke pinggir pantai. Saya membayangkan perasaan cemas mereka menjadi tenang apabila mereka menerima kedamaian yang diberikan Dia.
Apabila kita seolah-olah berasa sesak nafas kerana keresahan, kita boleh yakin terhadap kuasa Yesus. Sama ada Dia menenangkan ombak atau menguatkan kita untuk menghadapinya, Dia akan memberi kita kurnia kesejahteraan-Nya yang “melebihi pengertian manusia” (Filipi 4:7). Ketika Dia membebaskan kita daripada ketakutan, roh dan tubuh kita dapat kembali kepada keadaan yang tenang.