Saya dan isteri saya sangat panik ketika kami mendapati ibu mentua saya hilang semasa dia pergi membeli-belah dengan seorang saudara. Ibu menderita kehilangan ingatan dan kekeliruan, dan tiada sesiapa boleh menyangka apa yang mungkin dilakukannya. Adakah dia akan merayau di kawasan itu, atau menaiki mana-mana bas kerana memikirkan bas itu akan membawanya pulang? Senario-senario buruk mula memasuki fikiran kami ketika kami mula mencari dia, lalu kami berseru, “Ya Tuhan, tolonglah kami mencari dia.”

Beberapa jam kemudian, ibu mentua saya dilihat berjalan terhuyung-hayang di sepanjang jalan, jauh dari tempat asal. Kami amat bersyukur kepada Tuhan kerana kami dapat menemuinya. Beberapa bulan kemudian, berkat Tuhan sekali lagi dicurahkan kepadanya: pada usia lapan puluh tahun, ibu mentua saya percaya kepada Yesus Kristus dan menerima penyelamatan-Nya.

Yesus mengibaratkan manusia sebagai domba-domba yang sesat melalui gambaran ini: “Jika [seorang gembala] mempunyai seratus ekor domba lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba di padang lalu pergi mencari domba yang hilang itu sehingga ditemukannya. Setelah dia menemukannya, … dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya lalu berkata, ‘Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan domba aku yang hilang itu” (Lukas 15:4-6).

Gembala-gembala akan mengira domba mereka untuk memastikan tiada seekor pun yang hilang. Dengan cara yang sama, Yesus, yang menyamakan diri-Nya dengan gembala itu, menghargai setiap kita, baik yang muda mahupun yang tua. Apabila kita merayau dalam kehidupan, mencari, tertanya-tanya akan tujuan hidup, kita tidak pernah terlambat untuk kembali kepada Kristus. Tuhan menginginkan kita mengalami kasih dan berkat-Nya.