Sebagai orang tempatan California yang amat suka akan cuaca panas, saya biasanya mengelakkan segala sesuatu yang berkaitan dengan cuaca sejuk. Namun saya suka melihat gambar-gambar salji. Saya tersenyum melihat sekeping gambar musim dingin yang dikongsikan oleh seorang sahabat dari Illinois. Dalam gambar itu kelihatan sepohon anak pokok di luar tingkap rumahnya. Rasa kagum saya bertukar menjadi sedih apabila saya mendapati dahan-dahan pokok itu terkulai ke bawah kerana beban daripada isikel (ais berbentuk jejarum) yang bergemerlapan dan bertimbun di hujung dahan-dahannya.

Berapa lama dahan-dahan itu boleh menampung beban ais itu sebelum ia patah? Berat yang mengancam untuk mematahkan dahan-dahan itu mengingatkan saya tentang bahu saya yang keberatan menanggung kekhuatiran.

Setelah Yesus menegaskan bahawa harta terbesar untuk manusia bukanlah sesuatu yang sementara di dunia, Dia mendorong kita membebaskan fikiran kita daripada kekhuatiran. Pencipta dan Penampung alam semesta mengasihi dan membekalkan apa yang diperlukan oleh anak-anak-Nya, jadi kita tidak perlu membuang masa kita yang berharga dengan kekhuatiran. Tuhan mengetahui keperluan kita dan akan menjaga kita (Matius 6:19-32).

Dia juga tahu bahawa kita akan tergoda untuk tunduk kepada kekhuatiran. Dia menyuruh kita datang kepada-Nya dahulu, percaya bahawa Dia hadir dan membekalkan apa yang kita perlukan, dan hidup dengan iman tanpa mengkhuatiri hari esok (ayat 33-34).

Dalam hidup ini, kita akan menghadapi kesusahan dan keraguan yang cuba menjatuhkan semangat kita. Kita mungkin akan terkulai seketika kerana dibebani oleh kekhuatiran itu. Tetapi apabila kita percaya kepada Tuhan, kita tidak akan patah semangat.