Semasa saya sedang membeli sebuah alat pelembap, saya mendapati seorang wanita berumur berulang alik di lorong rak yang sama. Saya menganggap mungkin dia juga hendak membeli alat pelembap, jadi saya menunggu dia di tepi. Tidak lama kemudian kami berbual-bual tentang virus selesema di kawasan kami, yang menyebabkan dia mengalami batuk dan sakit kepala yang berlarutan.
Beberapa minit kemudian, dia menyatakan teorinya bagaimana virus itu bermula dengan kata-kata yang penuh selaran. Saya mendengar sahaja, tetapi tidak pasti apa yang harus saya buat. Tidak lama kemudian dia keluar dari kedai itu dalam keadaan yang masih marah dan kecewa. Walaupun dia telah menyatakan kekecewaannya, saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghilangkan perasaan kecewanya.
Daud, raja kedua Israel telah menulis Mazmur untuk menyatakan kemarahan dan kekecewaannya kepada Tuhan. Tetapi Daud tahu bahawa Tuhan bukan sekadar mendengar, Dia juga boleh melakukan sesuatu terhadap kekecewaannya itu. Dalam Mazmur 61, Daud menulis, “Dari hujung bumi aku akan merayu kepada-Mu, ketika hatiku tertekan; bimbinglah aku ke tempat batuan yang lebih tinggi daripadaku” (ayat 2). Tuhan ialah “tempat batuan” yang Daud boleh pergi untuk mendapat tempat “bernaung” (ayat 3).
Ketika kita berasa sengsara, atau berhadapan dengan orang yang berada dalam kesengsaraan, Daud memberikan contoh yang baik. Kita boleh berlari kepada Tuhan, tempat bernaung yang disebutnya sebagai “batuan yang lebih tinggi” atau membimbing seseorang ke sana. Alangkah baiknya kalau saya telah bercakap tentang Tuhan kepada wanita yang saya jumpa di kedai itu. Mungkin bukan semua perasaan kecewa kita dihilangkan-Nya, namun kita boleh beristirahat dalam ketenangan yang disediakan-Nya dan kita akan berasa terjamin bahawa dia mendengar tangisan kita.