Anak perempuan saya yang kedua, Britta ingin sangat tidur di “katil budak besar” di bilik kakaknya. Setiap malam selepas saya menyelimutinya, saya akan mengarahkan dia dengan tegas agar dia tidur baik-baik di atas katil, jika dia enggan mendengar, saya akan mengembalikan dia ke katil bayinya. Selama beberapa malam saya akan melihat dia berdiri di depan bilik saya, lalu saya harus mendukung anak saya yang kecewa itu ke katil bayinya. Bertahun-tahun kemudian, barulah saya mengetahui bahawa kakaknya yang lazimnya mesra sebenarnya tidak suka mempunyai adik perempuannya sebagai rakan sebilik, maka dia selalu memberitahu Britta kononnya dia mendengar saya memanggil Britta. Britta pun mendengar sahaja kata kakaknya, lalu pergi ke depan bilik saya untuk mencari saya. Itulah sebabnya dia selalu harus tidur di katil bayinya.

Kita harus menanggung akibat kerana mendengar arahan yang salah. Apabila Tuhan mengutus seorang utusan ke Betel untuk menyampaikan firman-Nya, Dia memerintah utusan itu supaya jangan makan atau minum semasa berada di sana, atau kembali melalui jalan yang telah ditempuhinya (1 Raja-Raja 13:9). Apabila Yerobeam menjemput dia untuk makan dan minum, utusan itu menuruti firman Tuhan dan menolak jemputan tersebut. Apabila seorang nabi tua pula yang menjemputnya makan, pada mulanya dia menolak, tetapi hatinya menjadi lembut dan kemudian dia pun makan kerana nabi tua itu berbohong bahawa kononnya malaikat telah bersabda kepadanya bahawa dia boleh makan. Sebagaimana saya ingin Britta menikmati “katil budak besar,” saya dapat membayangkan betapa sedihnya hati Tuhan kerana utusan-Nya itu tidak mentaati perintah-Nya.

Kita boleh percaya kepada Tuhan sepenuhnya. Firman-Nya adalah jalan hidup kita; kita adalah bijak jika kita mendengar dan taat kepada firman-Nya.