Pada tahun 2010, sebuah akhbar di Singapura telah menerbitkan satu laporan yang mengandungi pelajaran-pelajaran hidup yang dikumpulkan daripada lapan orang warga tua. Laporan itu berbunyi: “Walaupun proses penuaan memberi cabaran kepada minda dan badan, ia juga boleh menjurus kepada pengembangan dalam bidang lain. Golongan ini memiliki pengetahuan emosi dan sosial yang begitu mendalam; ciri-ciri yang mula dikenal pasti oleh para ahli sains sebagai hikmah … hikmah orang tua.”

Sememangnya, kalangan tua mempunyai lebih banyak hikmah dan pengalaman yang boleh diajarkan kepada kita tentang kehidupan. Tetapi dalam Alkitab, kita mendapati bahawa seorang raja yang baru ditabalkan gagal menyedari kebenaran ini.

Raja Salomo baru sahaja mangkat, dan kita boleh membaca bahawa “seluruh jemaah Israel menemui Rehabeam,” iaitu raja baru mereka dan mengemukakan satu petisyen dalam 1 Raja-Raja 12:3. Mereka memohon agar raja meringankan perhambaan yang keras serta cukai berat yang dikenakan ke atas mereka oleh ayahnya, Salomo. Sebagai balasan mereka akan melayani Rehabeam dengan setia.

Pada mulanya, raja muda itu berunding dengan tua-tua yang dahulunya berkhidmat untuk Salomo (ayat 6). Tetapi dia mengabaikan nasihat mereka dan menerima nasihat orang-orang muda yang membesar bersama-samanya (ayat 8). Dia memberatkan lagi tanggungan rakyat! Keterburu-buruannya telah menyebabkan dia kehilangan sebahagian besar kerajaannya.

Kita memerlukan nasihat daripada orang yang berpengalaman lama, terutamanya orang yang mengikut jalan Tuhan dan mendengar nasihat-Nya. Fikirkan hikmah dan pengertian yang telah diberikan Tuhan kepada mereka! Mereka boleh berkongsi banyak tentang Tuhan kepada kita. Marilah kita berkenalan dengan mereka dan mendengar hikmah mereka.