“Saya tidak tahu apa itu doa sehinggalah abang saya sakit dan kalian semua berdoa untuknya. Tidak terkatakan penghiburan yang saya terima melalui doa-doa kalian!”

Dengan linangan air mata, Laura mengucapkan terima kasih kepada saya kerana doa syafaat daripada jemaah gereja untuk abangnya yang menghidapi penyakit kanser. “Doa kalian telah menguatkan semangat abang saya pada saat-saat dia menghadapi kesusahan dan telah memberikan galakan kepada seluruh keluarga kami.”

Salah satu cara yang terbaik untuk mengasihi orang lain adalah berdoa untuk mereka. Yesus ialah teladan utama dalam hal ini. Dalam Perjanjian Baru, Yesus berdoa untuk orang lain dalam banyak keadaan, malah Dia terus-menerus datang kepada Bapa untuk berdoa syafaat bagi pihak kita pada hari ini. Roma 8:34 mengatakan bahawa Yesus “berada di sebelah kanan Allah dan juga berdoa syafaat bagi pihak kita.” Setelah menunjukkan kasih-Nya yang amat besar dengan mati pada kayu salib, Yesus yang telah hidup semula dan diangkat ke syurga masih terus berdoa syafaat bagi pihak kita hinggalah hari ini.

Semua orang yang berada di sekeliling kita memerlukan kita yang mengikut teladan Yesus dan mengasihi mereka dengan berdoa bagi pihak mereka, memohon agar Tuhan menolong dan campur tangan dalam hidup mereka. Kita boleh memohon kepada Tuhan supaya Dia menolong kita berdoa bagi pihak mereka, dan sesungguhnya Dia akan menolong kita! Semoga kita dikurniakan semangat untuk berdoa bagi orang lain pada hari ini.