Semasa saya kecil, saya melihat bapa saya membajak tanah yang belum pernah diusahakan. Semasa pembajakan pertama, batu-batu besar akan ditariknya keluar. Kemudian, dia akan membajak berulang kali untuk menghancurkan tanah itu. Setiap kali pembajakan seterusnya dilakukan, batu-batu yang lebih kecil akan dikeluarkan. Tanah ladang yang baru itu memerlukan pembajakan yang berulang kali.
Pertumbuhan dalam kasih kurnia juga merupakan proses serupa. Apabila kita mula-mula menjadi orang percaya, dosa “besar” mungkin akan didedahkan. Kita mengakuinya kepada Tuhan dan menerima pengampunan-Nya. Tetapi selepas beberapa tahun berlalu, sesudah firman Tuhan menyerap ke dalam jiwa kita, Roh Kudus akan menyedarkan kita tentang dosa-dosa lain. Dosa-dosa yang pernah dianggap kecil sahaja—yang kelihatannya tidaklah sangat menyakitkan—didedahkan sebagai dosa-dosa yang jelek, sikap dan tingkah laku yang memusnahkan. Dosa juga termasuklah sikap-sikap seperti sombong, rasa kasihan pada diri sendiri yang keterlaluan, rungutan, sikap remeh, prejudis, menyakitkan hati orang, suka menurut hawa nafsu.
Tuhan mendedahkan setiap dosa supaya Dia boleh menyingkirkannya. Dia mendedahkannya untuk menyembuhkan kita. Apabila sikap tersembunyi kita yang membahayakan terdedah, kita boleh berdoa seperti pemazmur Daud, “Demi nama-Mu, ya TUHAN ampunkanlah kejahatanku, walaupun amat besar” (Mazmur 25:11).
Pendedahan dosa kita adalah baik untuk jiwa kita walaupun ia menyakitkan. Ini ialah salah satu cara Tuhan “mengajar orang berdosa jalan yang benar.” Dia “membimbing orang yang rendah hati dalam keadilan dan mengajar mereka jalan-Nya” (Mazmur 25:8-9).