Sesetengah kita lebih cenderung melihat kecacatan di dunia ini. Namun seorang jurugambar bagi majalah National Geographic, DeWitt Jones telah menggunakan kepakarannya untuk memerhatikan keindahan dunia ini. Dia menunggu dan memerhati sehingga kemunculan satu alur cahaya, atau perubahan sudut pandangan tiba-tiba memperlihatkan suatu keajaiban yang telah wujud sejak mula lagi. Dengan kameranya, dia berfokus pada keindahan paras rupa orang dan alam semula jadi yang paling biasa.
Sekiranya ada orang mempunyai alasan untuk memfokuskan tumpuannya pada apa yang tidak kena di dunia ini, Ayub ialah orang itu. Ayub kehilangan semua perkara yang memberikan sukacita kepadanya, malahan teman-temannya pun menuduh dia berbuat dosa. Mereka bersama-sama mencemuh Ayub dengan mengatakan Ayub menderita sengsara kerana tidak mengakui dosa sendiri yang disembunyikannya. Apabila Ayub meraung memohon pertolongan daripada Tuhan di syurga, Tuhan hanya berdiam.
Akhirnya, dari dalam angin puting beliung, Tuhan meminta Ayub untuk berfikir tentang keajaiban alam semula jadi yang mencerminkan hikmah dan kuasa-Nya yang melebihi apa yang ada pada kita (Ayub 38:2-4).
Apakah Tuhan akan bertanya kepada kita sekarang? Bagaimana pula dengan sesuatu yang biasa seperti tingkah laku seekor anjing, kucing, sehelai daun yang berlambai-lambai, atau daun rumput? Bolehkah satu jalur cahaya, atau perubahan sudut pandangan, memperlihatkan fikiran dan hati seorang Pencipta yang telah menyertai kita sejak mula lagi walaupun ketika kita menderita sengsara?