Budak lelaki itu menggelisah di tempat duduknya dalam kapal terbang. Dia sebentar-sebentar melihat luar. Kemudian dia menutup mata dan menarik nafas dalam-dalam, dia cuba bertenang—tetapi tidak berhasil. Ketika kapal terbang berlepas, badan budak tersebut bergerak ke depan dan ke belakang secara perlahan-lahan di tempat duduknya kerana gelisah. Seorang wanita yang duduk di sebelah lorong pun meletakkan tangannya pada lengan budak lelaki itu, malah dengan lembut bercakap kepada dia untuk mengalihkan perhatiannya daripada kegelisahan. Dia berbisik, “Apakah nama kamu?” “Dari manakah kamu?” “Jangan takut, kita selamat,” dan “Keadaan kamu bertambah baik.” Wanita itu sebenarnya boleh berasa jengkel atau hanya membiarkan anak lelaki itu. Tetapi dia memilih untuk menenangkan anak itu dengan sentuhan dan kata-kata. Ketika mendarat tiga jam kemudian, budak lelaki itu berkata, “Terima kasih kerana sanggup membantu saya.”

Gambaran sifat lembut hati sedemikian sukar ditemukan. Kebaikan hati tidak wujud secara semula jadi dalam diri ramai orang; sering kali kita selalu mengutamakan kepentingan diri sendiri. Namun, apabila Rasul Paulus menggesa kita agar “berbelas kasihlah satu sama lain” (Efesus 4:32), itu tidak bermakna semuanya bergantung pada sikap kita. Roh Kudus yang memperbaharu hidup kita setelah kita diberikan hidup yang baharu melalui iman kita dalam Yesus. Kebaikan hati adalah pekerjaan Roh Kudus yang terus-menerus memperbaharu pemikiran dan sikap kita (Efesus 4:23).

Tuhan yang penuh belas kasihan sedang bekerja dalam hati kita, membawa kita untuk menyentuh hati orang lain dengan memberi pertolongan dan mengucapkan kata-kata yang menggalakkan kepada orang lain.