Ketika berada jauh dari rumah dan mengikuti latihan asas untuk Perang Dunia II, tentera-tentera pelatih Amerika menggunakan cara berlawak dan surat-menyurat untuk mengatasi cabaran yang dihadapi mereka. Seorang tentera muda menghuraikan proses suntikan vaksin mereka dengan lawak yang keterlaluan dalam suratnya kepada keluarganya: “Dua orang pegawai kesihatan mengejar kami, masing-masing memegang tempuling di tangan. Lalu mereka menyambar kami dan terus menjatuhkan kami ke lantai, lalu menusukkan suntikan ke lengan kami masing-masing.”

Namun seorang askar mula menyedari bahawa lawak itu hanya boleh memberikan bantuan yang terhad. Kemudian dia menerima sebuah Alkitab. Suratnya berbunyi, “Saya sangat seronok membaca Alkitab itu setiap malam. Tidak pernah saya tahu bahawa kita sebenarnya boleh belajar begitu banyak dalam Alkitab.”

Pada zaman dahulu, orang Yahudi kembali ke Yerusalem daripada pembuangan setelah bertahun-tahun hidup dalam perhambaan di Babel dan mereka mendapati ada banyak kesusahan harus dihadapi. Ketika mereka berusaha mendirikan tembok Yerusalem semula, mereka menghadapi tentangan daripada musuh-musuh, kebuluran dan dosa mereka sendiri. Di tengah-tengah kesusahan itu, mereka mencari pedoman daripada firman Tuhan. Mereka kagum dengan apa yang dipelajari. Apabila imam membaca Kitab Suci Taurat, seluruh rakyat menangis ketika mendengar perkataan hukum Taurat itu (Nehemia 8:9). Namun mereka juga dihiburkan. Nehemia, pembesar kota itu memberitahu mereka, “Janganlah kamu berduka, sebab sukacita daripada TUHAN ialah kekuatan kamu” (Nehemia 8:10).

Kita tidak perlu menunggu sehingga kesusahan menimpa kita barulah kita mencari firman Tuhan. Alkitab ialah tempat yang kita belajar tentang sifat, pengampunan dan penghiburan Tuhan. Apabila kita membaca firman Tuhan, kita akan kagum akan apa yang akan diperlihatkan oleh Roh Tuhan dalam setiap lembaran Alkitab.