Pada suatu hari, ketika saya berada di kelas fizik banyak tahun yang dahulu, tanpa menyuruh kami menoleh ke belakang, guru kami bertanya, “Apakah warna dinding di belakang kamu?” Tiada seorang pun antara kami yang dapat menjawab.
Ada kalanya kita terlepas melihat atau mengabaikan “hal” dalam kehidupan semata-mata kerana kita tidak boleh mencerap semuanya. Kadang-kadang kita tidak melihat apa yang telah lama wujud di sekeliling kita.
Demikianlah bagi saya apabila baru-baru ini saya membaca semula peristiwa Yesus membasuh kaki para murid-Nya. Kisah itu biasa diketahui, kerana ini sering dibaca pada Minggu Suci. Cerita mengenai Penyelamat dan Raja kita merendahkan diri-Nya untuk membasuh kaki para murid-Nya membuatkan kita berasa kagum. Pada zaman Yesus, hamba-hamba orang Yahudi pun tidak perlu melakukan tugas ini kerana ia dilihat sebagai terlalu rendah. Tetapi apa yang terlepas daripada perhatian saya selama ini adalah bahawa Yesus, selaku manusia dan Tuhan, membasuh kaki Yudas. Walaupun Dia tahu Yudas akan mengkhianati-Nya, Yesus masih merendahkan diri-Nya dan membasuh kaki Yudas (Yohanes 13:11).
Kasih telah dinyatakan melalui sebaldi air—kasih yang dinyatakan Yesus bahkan kepada orang yang akan mengkhianati-Nya. Tatkala kita merenungkan peristiwa-peristiwa pada minggu ini, yang menjurus kita kepada sambutan kebangkitan Yesus, semoga kita juga diberi kerendahan hati supaya kita boleh menyebarkan kasih Yesus kepada kawan-kawan mahupun musuh kita.