Semasa Minggu Suci, kita memperingati hari-hari terakhir sebelum Yesus disalibkan. Jalan yang dilalui oleh Yesus sepanjang jalan di Yerusalem ke tempat Dia disalibkan dikenali sebagai Via Dolorosa pada hari ini, yang bermaksud jalan penderitaan.

Tetapi penulis Kitab Ibrani melihat jalan yang dilalui Yesus bukan sekadar jalan penderitaan, tetapi lebih daripada itu. Jalan penderitaan yang sanggup dilalui oleh Yesus ke Golgota telah mencipta “jalan yang baru dan hidup” bagi kita untuk masuk ke hadirat Tuhan (Ibrani 10:20).

Berabad-abad lamanya orang Yahudi telah cuba mencari cara untuk masuk ke hadirat Tuhan melalui persembahan korban binatang dan mentaati hukum. Akan tetapi hukum itu hanyalah “bayang-bayang perkara baik yang akan datang, bukan hakikat perkara itu sendiri” kerana “tidaklah mungkin darah lembu jantan dan kambing dapat menghapuskan dosa” (Ibrani 10:1,4).

Perjalanan Yesus di sepanjang Via Dolorosa membawa Dia ke kematian dan kebangkitan-Nya. Oleh sebab pengorbanan-Nya, kita disucikan apabila kita percaya kepada Dia kerana dosa kita telah diampunkan. Walaupun kita tidak dapat mentaati hukum dengan sempurna, kita boleh datang ke hadirat Tuhan dengan berani, yakin sepenuhnya bahawa kita dialu-alukan dan dikasihi. (Ibrani 10:10,22).

Jalan penderitaan Kristus telah membuka jalan yang baru dan hidup bagi kita untuk datang ke hadirat Tuhan.