Semasa duduk bersama untuk makan malam beberapa minggu sebelum Hari Easter, kami membuat mahkota duri dengan mencucukkan sebatang pencungkil gigi ke sebuku span berbentuk piring di hadapan kami masing-masing. Setiap pencungkil gigi itu menandakan sesuatu perkara yang telah kami lakukan dengan kesal pada hari itu dan Kristus harus menanggung hukuman itu. Kemudian kami pulang dengan membawa piring tersebut, dan kegiatan itu terus-menerus mengingatkan bahawa kami berdosa kerana kesalahan yang telah kami lakukan dan kami sesungguhnya memerlukan seorang Penyelamat. Malah hanya melalui kematian Yesus pada kayu salib, barulah kami dibebaskan daripada belenggu dosa.
Mahkota duri yang dibuat untuk diletakkan pada kepala Yesus merupakan satu ejekan kejam yang dilakukan oleh askar-askar Roma sebelum Yesus disalibkan. Mereka juga menyarungkan jubah ungu ke tubuh Yesus dan memberi dia sebatang tongkat seolah-olah ini tongkat seorang raja, malah mereka menggunakan tongkat itu untuk memukul Dia. Sesudah itu mereka berlutut di depan-Nya sambil mengejek-Nya, “Hai Raja orang Yahudi!” (Matius 27:29). Mereka tidak menyedari bahawa perbuatan mereka itu akan diingatkan ribuan tahun kemudian. Yesus bukan seorang raja yang biasa. Dia ialah Raja Segala Raja. Dia mati dan hidup semula untuk memberi kehidupan abadi.
Pada pagi Hari Easter, kami meraikan hadiah yang berupa pengampunan dan kehidupan baru dengan menggantikan pencungkil-pencungkil gigi itu dengan bunga-bunga. Kami sungguh gembira kerana kami tahu bahawa Tuhan telah menghapuskan dosa kami, dan dalam Dia, kami telah diberikan pembebasan dan memiliki kehidupan abadi!