Susannah Cibber menjadi terkenal pada abad ke-18 kerana bakatnya sebagai seorang penyanyi. Bagaimanapun, dia juga terkenal dengan skandal dan masalah pernikahan. Itulah sebabnya apabila persembahan pertama Messiah hasil karya Handel dilangsungkan di Dublin pada bulan April 1742, ramai hadirin tidak bersetuju dengan peranannya sebagai penyanyi solo pada hari itu.
Dalam pertunjukan julung kali tersebut, Cibber menyanyikan lagu tentang Mesias: “Dia dihina dan ditolak manusia, seorang yang penuh derita dan terbiasa dengan kesakitan” (Yesaya 53:3). Kata-kata tersebut sangat menyentuh hati Rev. Patrick Delany sehingga dia melonjak naik dari tempat duduknya dan berkata, “Cik, kerana semua ini dosa-dosa anda sudah diampuni!”
Kaitan antara Susannah Cibber dan tema Handel yang berjudul Messiah (Penyelamat) itu sangat jelas. “Seorang yang penuh derita—Yesus Sang Mesias—telah “dihina dan ditolak” kerana dosa manusia. Nabi Yesaya berkata, “Hamba-Ku yang setia dan yang Aku perkenankan akan menanggung hukuman banyak orang” (ayat 11).
Kaitan antara Mesias dengan kita juga sangat ketara. Sama ada kita menyokong para hadirin yang menghakimi Susannah Cibber, atau menyokong Susannah Cibber, atau mempunyai pendirian yang neutral, setiap kita perlu bertaubat dan menerima pengampunan daripada Tuhan. Ini kerana melalui kehidupan, kematian dan kebangkitan Yesus, Dia memulihkan hubungan kita dengan Tuhan, Bapa kita.
Kerana itu—kerana segala sesuatu yang dilakukan Yesus—semua perbuatan dosa kita telah diampuni.