Sewaktu Sammy yang berumur 18 tahun menerima Yesus sebagai Penyelamat, dia telah ditolak oleh keluarganya kerana secara tradisi mereka berasal daripada agama yang berbeza. Tetapi jemaah Kristian telah menerimanya, memberikan dorongan dan bantuan kewangan bagi pendidikannya. Setelah kesaksiannya diterbitkan dalam sebuah majalah, penganiayaannya semakin bertambah serius.
Namun Sammy tidak berhenti mengunjungi keluarganya. Dia akan melawat setiap kali ada kesempatan dan akan berbual-bual dengan bapanya, walaupun adik-beradiknya dengan kejam menghalangnya daripada mengambil bahagian dalam urusan-urusan keluarga. Ketika bapanya jatuh sakit, Sammy tidak mempedulikan halangan adik-beradiknya melainkan terus datang menjaganya dan sering berdoa agar bapanya sembuh. Apabila Tuhan menyembuhkan bapanya, keluarganya mula berubah sikap terhadapnya. Lama-kelamaan kesaksiannya yang penuh kasih telah melembutkan hati mereka terhadap dirinya, dan beberapa anggota keluarganya mula bersikap terbuka untuk mendengar tentang Yesus.
Keputusan kita untuk mengikut Yesus mungkin akan mengakibatkan masalah ke atas diri kita. Petrus menulis, “Kamu layak dipuji jika kerana Allah kamu tabah menanggung derita akibat perlakuan yang tidak adil” (1 Petrus 2:19). Apabila kita melalui keadaan kurang selesa atau menderita disebabkan oleh iman, kita menerima dengan sabar sebab “Kristus juga menderita untuk kita, memberi kita teladan, supaya kita menurut jejak langkah-Nya” (1 Petrus 2:21).
Apabila orang melemparkan kata-kata hinaan terhadap Yesus, “Dia tidak mencela kembali. Apabila Dia menderita, Dia tidak mengugut, tetapi menyerahkan diri-Nya kepada Allah yang menghakimi dengan adil” (ayat 23). Yesus ialah teladan kita dalam penderitaan. Kita boleh datang kepada-Nya untuk mendapatkan kekuatan supaya terus melangkah dalam perjalanan iman ini.