Ketika pelari berbangsa Singapura, Ashley Liew, mendapati dirinya di hadapan sekumpulan pelari semasa maraton di Sukan Asia Tenggara, dia tahu ada sesuatu yang tidak betul. Dia segera menyedari bahawa pelari-pelari yang mula-mula berada di depan telah mengambil haluan yang salah dan kini berada di belakangnya. Ashley boleh sahaja mengambil kesempatan daripada kesilapan mereka, tetapi semangat kesukanan yang kuat memberitahu dia bahawa kemenangan seperti itu bukan kemenangan yang sebenar. Dia ingin menang kerana dia boleh berlari dengan lebih laju, bukan kerana para pelari lain telah membuat kesilapan. Oleh sebab pendirian ini, dia memperlahankan langkahnya supaya pelari lain boleh mengejar kemajuan untuk menyainginya.

Akhirnya, Ashley kalah dalam perlumbaan dan gagal memenangi pingat. Tetapi dia telah memenangi hati orang senegaranya dan memenangi anugerah antarabangsa bagi tindakannya yang menegakkan keadilan dalam dunia sukan. Tindakannya juga telah memberikan kesaksian yang baik tentang imannya sebagai seorang Kristian dan hal ini tentulah telah membuat beberapa orang bertanya, “Apakah yang menggerakkan dia bertindak demikian?”

Tindakan Ashley mencabar saya menyatakan iman melalui tindakan saya. Sikap bertimbang rasa, kebaikan, atau pengampunan dapat memuliakan Tuhan. Seperti Paulus, dia berkata, “Jadilah teladan kepada mereka dengan melakukan perbuatan yang baik. Ajarlah mereka dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh dan gunakan kata-kata bijak yang tidak dapat dicela” (Titus 2:7–8).

Tindakan positif kita terhadap orang lain boleh menunjukkan kepada dunia bahawa kita dapat menjalani kehidupan yang berbeza kerana pekerjaan Roh Kudus dalam diri kita. Kekuasaan-Nya akan memberikan kita rahmat Tuhan untuk menolak nafsu kejahatan dan keinginan-keinginan yang salah, dan menjalani kehidupan yang benar, yang menuntun orang kepada Tuhan (ayat 11-12).