Beberapa tahun yang lalu, saya dan anak-anak lelaki saya meluangkan masa selama seminggu di sebuah ladang pedalaman yang sudah terbiar di tepi sungai Salmon, yang dikenali sebagai “Sungai yang Tiada Jalan Pulang” di Idaho.

Pada suatu hari, sewaktu menjelajahi ladang itu, saya terjumpa sebuah kubur lama dengan penanda kayu. Namun tulisan yang terukir pada penanda kayu itu sudah lama terhakis hilang. Seorang pernah hidup dan meninggal dunia—sekarang dilupakan. Tempat kuburan itu kelihatan amat sedih bagi saya. Setibanya di rumah, saya meluangkan masa beberapa jam untuk membaca sejarah tentang ladang dan kawasan tersebut, tetapi saya tidak menemukan maklumat mengenai orang yang dikuburkan di situ.

Sesetengah orang berkata, peribadi yang memiliki reputasi terbaik akan diingati lebih kurang selama 100 tahun. Yang lain akan segera dilupakan. Ingatan tentang generasi lama, seperti penanda pada kubur kita, akan segera terhakis dan hilang. Namun warisan kita boleh diteruskan dalam keluarga seiman. Bagaimana kita telah mengasihi Tuhan dan sesama dalam hayat kita akan berterusan. Maleakhi 3:16-17 memberitahu kita, “sebuah kitab peringatan ditulis di hadapan-Nya bagi orang yang takut kepada TUHAN dan yang memuliakan nama-Nya. ‘Mereka akan menjadi milik-Ku,’ firman TUHAN alam semesta, ‘pada waktu Aku membuat mereka menjadi harta kesayangan-Ku.’ ”

Paulus menulis tentang Daud yang telah “melakukan suruhan Allah ketika dia hidup” dan kemudian meninggal (Kisah Para Rasul 13:36). Seperti Daud, semoga kita mengasihi Tuhan dan melayani-Nya ketika kita hidup dan yakin Tuhan akan mengingati kita. “Mereka akan menjadi milik-Ku,” (Maleakhi 3:17) kata Tuhan.