Para saintis sangat cerewet tentang masa. Pada akhir tahun 2016, ahli-ahli di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard di Maryland telah menambahkan waktu selama satu saat pada tahun tersebut. Jadi sekiranya anda berasa bahawa tahun itu lebih panjang daripada tahun-tahun sebelum ini, anda memang benar.
Mengapakah mereka berbuat demikian? Ini kerana putaran bumi semakin perlahan, jadi tahun-tahun seterusnya terasa lebih panjang. Apabila para saintis mengawasi objek yang dilancarkan ke angkasa, mereka mesti mengira ketepatan masa sehingga ke milisaat. Ini adalah untuk “memastikan program kita yang mengelakkan perlanggaran adalah tepat,” menurut seorang saintis.
Bagi kebanyakan kita, sesaat yang diperoleh atau terhilang tidak mengakibatkan banyak perubahan. Namun menurut firman Tuhan, masa kita dan bagaimana kita menggunakannya adalah penting. Paulus mengingatkan kita dalam 1 Korintus 7:29 bahawa “masa itu suntuk.” Masa yang kita ada untuk melakukan pekerjaan Tuhan adalah terhad, jadi hendaklah kita gunakan masa dengan bijaksana. Dia menasihati kita supaya “pergunakanlah setiap peluang dengan sebaiknya kerana ini zaman durjana” (Efesus 5:16).
Ini bukan bermakna bahawa kita harus mengira setiap saat seperti yang dilakukan oleh para saintis, tetapi apabila kita berfikir tentang sifat kehidupan kita yang singkat (Mazmur 39:4), kita pun diingatkan untuk menggunakan masa kita dengan bijaksana.