Sewaktu berumur tiga belas tahun, sekolah saya mewajibkan pelajar mengambil empat kursus penyelidikan, termasuklah ekonomi rumah tangga, seni, koir, dan pertukangan kayu. Pada hari pertama dalam kelas koir, pengajar memanggil setiap pelajar datang menghampiri piano untuk mendengar suara mereka dan menempatkan setiap orang di bilik menurut tahap vokal mereka masing-masing. Ketika giliran saya tiba, saya menyanyikan not yang dimainkan beberapa kali tetapi tidak diminta untuk pergi ke mana-mana bahagian vokal dalam bilik itu. Sebaliknya selepas beberapa percubaan, saya dinasihati agar menghadiri kelas lain. Sejak hari itu, saya berpendapat bahawa saya tidak patut bernyanyi sama sekali dan suara saya tidak patut kedengaran dalam lagu.

Saya membawa pemikiran seperti itu selama lebih 10 tahun sehinggalah saya membaca Mazmur 98 semasa saya menjadi dewasa. Penulis memulakan Mazmur ini dengan jemputan ini: “Nyanyikan untuk TUHAN” (Mazmur 98:1). Alasan yang diberikan tidak ada perkaitan dengan kualiti suara kita; melainkan kerana Tuhan suka dengan nyanyian syukur dan puji-pujian daripada anak-anak-Nya. Kita dijemput untuk bernyanyi “kerana Dia telah melakukan perkara yang menakjubkan” (ayat 1).

Pemazmur menggariskan dua sebab yang indah untuk memuji dan bersyukur kepada Tuhan dengan hati yang bersukacita: Pekerjaan penyelamatan-Nya serta kesetiaan-Nya yang berterusan dalam kehidupan kita. Dalam koir Tuhan, setiap kita mempunyai tempat untuk bernyanyi tentang perbuatan-perbuatan besar yang telah dikerjakan oleh Tuhan.