“Dari manakah asal anda?” Kita selalu menggunakan pertanyaan ini untuk mengenal seseorang dengan lebih baik. Tetapi ramai antara kita mendapati bahawa jawapannya adalah rumit. Kadangkala kita tidak mahu berkongsi semua maklumat secara terperinci.
Dalam kitab Hakim-Hakim, Yefta mungkin tidak mahu menjawab pertanyaan itu sama sekali. Saudara-saudara tirinya telah mengusirnya dari kota asalnya Gilead, atas alasan asal usulnya yang “meragukan.” “Engkau anak lelaki daripada perempuan lain,” kata mereka (Hakim-Hakim 11:2). Namun Alkitab nyata sekali ketika mencatatkan “dia anak seorang perempuan sundal” (ayat 1).
Tetapi Yefta merupakan seorang pemimpin semula jadi. Apabila satu suku seteru ingin berlawan dengan Gilead, orang yang telah mengusirnya, tiba-tiba mahukan dia kembali. Mereka berkata, “Marilah menjadi ketua kami,” (ayat 6). Yefta bertanya, “Bukankah kamu membenci aku dan mengusir aku daripada keluargaku?” (ayat 7). Setelah dijaminkan bahawa perkara akan berbeza berbanding sebelumnya, dia bersetuju untuk memimpin mereka. Firman Tuhan memberitahu kita, “Lalu Roh Tuhan turun ke atas Yefta” (ayat 29). Dengan iman, dia memimpin mereka untuk mencapai kemenangan yang hebat. Perjanjian Baru menyenaraikan namanya dalam senarai perwira-perwira iman (Ibrani 11:32).
Tuhan seolah-olah sering memilih orang yang paling dihina oleh orang ramai untuk melakukan pekerjaan-Nya, bukan? Asal usul, pencapaian kita atau apa yang telah kita lakukan adalah tidak penting. Apa yang penting adalah kita memberi respons dengan iman terhadap kasih-Nya.