Apabila saya melihat semula sekotak gambar perkahwinan kami yang sudah lama, saya terhenti apabila melihat gambar saya bersama suami sewaktu baru diisytiharkan sebagai suami isteri. Dedikasi terhadapnya sangat ketara di raut wajah saya. Saya bersedia pergi ke mana sahaja bersamanya.
Setelah hampir empat puluh tahun, pernikahan kami tetap teguh kerana ikatan kasih dan komitmen yang telah memungkinkan kami melalui masa susah dan senang. Tahun demi tahun saya membuat komitmen baru untuk pergi ke mana sahaja bersamanya.
Dalam Yeremia 2:2, Tuhan sangat merindukan umat Israel yang amat degil tetapi sangat dikasihi-Nya, “Aku teringat kasih sayangmu pada masa mudamu, cintamu ketika engkau menjadi pengantin, bagaimana engkau mengikuti Aku.” Perkataan Ibrani bagi kasih sayang menyatakan tahap kesetiaan dan komitmen yang paling tinggi. Pada mulanya, Israel menyatakan kasih sayangnya yang amat tinggi kepada Tuhan, tetapi perlahan-lahan Israel mula menjauhi daripada Tuhan.
Walaupun komitmen perkahwinan pada tahap awal sememangnya kuat, namun kepuasan hati terhadap keadaan yang tetap sama dapat menumpulkan kepekaan cinta kita dan kekurangan kesungguhan akan menyebabkan ketidaksetiaan. Kita tahu akan kepentingan untuk melawan kelemahan sedemikian dalam pernikahan kita. Bagaimanakah pula dengan sikap keghairahan dalam hubungan kasih kita dengan Tuhan? Adakah kasih kita terhadap Tuhan masih sama sebagaimana kasih kita terhadap-Nya apabila kita baru menjadi seorang percaya?
Tuhan dengan setia membenarkan umat-Nya kembali kepada-Nya (3:14–15). Pada hari ini kita dapat memperbaharui janji-janji kita untuk mengikut Dia—ke mana sahaja.