Pada suatu petang, saya menghabiskan dua jam di pameran seni yang bertema Bapa & Dua Anak Lelakinya: Seni Pengampunan—setiap karya pameran berpusatkan perumpamaan Yesus tentang anak yang hilang (lihat Lukas 15:11–31). Saya mendapati bahawa lukisan terutamanya karya Edward Riojas, Anak yang Hilang memberikan impak besar kepada saya. Lukisan tersebut menggambarkan bahawa anak yang hilang itu sedang pulang ke rumah dengan pakaian yang tidak kemas, kotor serta berjalan sambil menundukkan kepala. Dengan meninggalkan alam kematian di belakangnya, dia melangkah masuk ke jalan yang bapanya sudah berlari ke arahnya. Di bahagian bawah lukisan itu tertera kata-kata Yesus, “Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan” (ayat 20).

Saya sangat tersentuh apabila menyedari semula bagaimana kasih Tuhan yang tidak pernah berubah telah mengubah kehidupan saya. Apabila saya berpaling daripada-Nya, Dia tidak memalingkan diri melainkan tetap mencari, memandang dan menanti. Kasih anugerah-Nya tetap tidak berubah; sering kali kasih-Nya diabaikan tetapi tidak pernah ditarik semula.

Kesemua kita adalah bersalah, namun Bapa kita yang di syurga menjangkau untuk menjemput kita sebagaimana bapa dalam cerita ini menjangkau dan memeluk anaknya yang hilang, malah berkata kepada hamba-hambanya “marilah kita mengadakan jamuan dan bersuka ria; kerana anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali” (ayat 23–24).

Tuhan bersukacita atas mereka yang kembali kepada-Nya pada hari ini—dan ini harus diraikan!